Ada beberapa jenis sihir yang popular di kalangan masyarakat iaitu:
1) Sihir pemisah / pembenci (suami isteri)
a) Timbul rasa benci tanpa sebab yang jelas berlaku pada seorang daripada pasangan atau kedua-duanya sekali.
b) Berlaku selisih faham, pertengkaran antara pasangan tanpa sebab atau sebab-sebab yang kecil menyebabkan suasana tegang dan kucar-kacir.
c) Timbul rasa was-was syaitan yang boleh menyebabkan isteri takut mendekati suami, terasa suami seperti hendak mencekik atau membunuhnya. Timbul rasa cemburu yang bersangatan kerana suami menduakan dirinya padahal suami tidak berbuat demikian.
d) Rasa sakit kepala, gelisah dan buntu selagi pasangan berada di sampingnya dan berasa lega bila ia keluar dari rumah.
e) Berlaku perubahan rupa pada pandangan mata. Isteri mungkin melihat suami dengan rupa yang menakutkan, atau suami melihat isteri dengan pandangan hodoh lagi menjijikkan.
f) Timbul desakan dalam diri suami untuk menceraikan isteri tanpa sebab yang jelas. Dalam hatinya timbul bisikan-bisikan yang ia telah menceraikan isterinya padahal ia tidak berhasrat langsung berbuat demikian. Isteri pula kadang-kadang meminta cerai bertalu-talu sambil mencabar suami berbuat demikian dalam keadaan tidak dapat mengawal diri.
2) Sihir Pembenci (Bukan suami Isteri)
Sihir ini dilakukan supaya seorang itu membenci tempat kerja, lalu berpindah, minta berhenti dan sebagainya.
"Seorang responden mengadu dia tidak boleh pergi ke tempat kerja, juga tidak boleh balik ke rumah. Sebaik sahaja tiba di tempat kerja, ia terasa ada objek asing dalam kepala, memenuhi otak, menyebabkannya bingung dan tidak boleh berfikir langsung. Badannya menggeletar ketakutan, di hadapannya kelihatan satu objek besar memutih melindungi bangunan tempat kerja, menghalangnya daripada meneruskan pekerjaan."
3) Sihir Jerutan
a) Sihir ini menyebabkan suami tidak berdaya untuk bersetubuh dengan isterinya biarpun pada awalnya mempunyai ketegangan zakar.
b) Keluar mani sebaik-baik hendak bersetubuh, menyebabkan zakar mengecut dan lemah.
c) Kedua belah peha isteri terkapit erat bukan atas kehendaknya menyebabkan suami gagal bersetubuh.
d) Isteri terasa dingin dan dalam kebingungan tidak merasa apa-apa nikmat daripada persetubuhan yang dilakukan.
e) Keluar darah setiap kali suami hendak bersetubuh dengan isterinya.
f) Isteri merasa sakit ketika disentuh suaminya bairpun dengan sentuhan yang sedikit. Darah terus keluar setelah bersetubuh untuk satu jangka masa yang tidak dapat dipastikan.
g) Suami merasakan adanya ketulan daging dalam faraj isteri menyebabkannya gagal menyetubuhi isteri seperti biasa.
h) Suami merasakan faraj isteri longgar walaupun isterinya seorang dara dan tidak pernah melakukan hubungan jenis sebelum itu.
4) Mandul
Kemandulan boleh terjadi kerana masalah fizikal dan boleh juga terjadi akibat gangguan jin. Antara kemandulan yang berpunca daripada jin ialah sesak di dada terutamanya selepas waktu asar. Selalu melayang fikiran, rasa sakit di bawah tulang punggung, cemas waktu tidur dan mengalami mimpi yang menakutkan.
5) Gangguan Fizikal
Jin-jin yang dipanggil atau diseru akan menuju ke bahagian otak, mengakibatkan timbulnya gejala-gejala ketidaknormalan otak menyebabkan seseorang itu bertindak sesuatu di luar kesedaran, tidak tahu apa yang telah dilakukan.
Serangan boleh juga terjadi dari segi luaran seperti bahagian kepala terasa sakit, dicengkam, ditoreh atau ditikam.
Gangguan juga boleh berlaku pada bahagian hati yang melibatkan keraguan melampau samada dari segi 'iktikad dan pelaksanaan ibadah.
6) Sihir Pelalau
Sihir ini boleh menyebabkan seseorang hilang nafsu untuk berkahwin, atau berlaku pelbagai halangan untuk berkahwin yang menyebabkan perkahwinan tidak dapat dijalankan.
Sihir ini juga sering dilakukan terhadap premis perniagaan menyebabkan perniagaan ditutup kerada tidak ada pelanggan membeli atau berurusan. Perniagaan terasa hambar, tiada daya penarik atau lauk yang dimasak busuk atau rosak walaupun baru dimasak. Pelanggan melihat ulat dalam makanan.
Akibat sihir ini, tuan punya kedai tidak minat, terpaksa dan menggagahi diri untuk pergi ke kedai. Di kedai terasa begitu malas untuk bekerja, merasa mengantuk yang bersangatan, rasa takut, gelisah, sakit badan tetapi semua perasaan hilang sebaik-baik sahaja melangkah keluar dari kedai.
7) Pukau
Mangsa sihir ini tidak berupaya mengawal diri, bertindak atau berfikir. Kesan pukau bergantung kepada kekuatan roh seseorang. Pukau boleh disalurkan kepada orang yang dipengaruhi melalui ungkapan jampi, sentuhan dan pancaran mata.
8) Sihir Pengasih
Sihir jenis ini akan membuatkan mangsa mengingati orang yang memujanya dalam keadaan bersangatan, tidak senang duduk ataupun lena tidur, ataupun ketika makan dan minum, terasa seolah-olah menapak berjumpa orang yang memuja. Perkara ini tidak semestinya terus-menerus berlaku, mungkin berlaku seperti lepas asar dan sebagainya. Pada waktu-waktu lain ia berada dalam keadaan normal.
9) Santau
Santau terbahagi kepada dua; dicampur ke dalam makanan atau dibawa oleh jin kepada mangsa. Jenis yang kedua ini dinamakan santau angin.